Sekadar gambar hiasan
Seorang lelaki yang merupakan guru sekolah agama di Indonesia telah ditahan oleh pihak polis selepas didakwa mencabul 12 orang pelajar lelaki di institusi pendidikan tempatnya mengajar.
Guru agama cabul anak murid
Memetik laporan Tribun Bali, kesemua mangsa cabul merupakan pelajar lelaki masing-masing dalam lingkungan usia 10 hingga 11 tahun. Hasil daripada siasatan mendapati, suspek yang berusia 39 tahun itu menggunakan taktik mengajak mangsa bermalam bersamanya selain mengumpan mahu menghantar anak muridnya itu pulang ke rumah.
Bukan itu sahaja, suspek juga menggunakan modus operandi dengan mengajak mangsa untuk mandi di kolam air panas sebelum melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Cara lain yang dilakukan suspek adalah dengan mengikut mangsa ke bilik air.
Bagaimanapun, perbuatan jijik tersebut hanya terbongkar selepas salah seorang mangsa tampil membuat laporan di balai polis. Susulan daripada itu, pihak polis mula menjalankan siasatan dan melakukan penahanan terhadap suspek.
Hasil daripada siasatan lanjut mendapati suspek telah melakukan perbuatan terkutuk itu sejak dari tahun 2017 lagi hingga 1 Mac lalu dan rupa-rupanya suspek sendiri juga pernah menjadi mangsa cabul pada tahun 1996. Kes disiasat di bawah Pasal 82 Undang-undang Perlindungan Anak. Tertuduh akan menjalani hukuman penjara maksimum 15 tahun dan minima 3 tahun dan denda berjumlah lebih RM88,000 jika sabit kesalahan.
Sumber: Detik
source https://ohbulan.com/guru-agama-cabul-12-pelajar-lelaki-ajak-mandi-kolam-air-panas-sebagai-umpan