Gambar sekadar hiasan
Korang pernah dengar tak dengan pantang larang orang dulu-dulu yang melarang untuk kita melaungkan takbir raya sebelum tibanya hari raya.
Ini kerana, mereka beranggapan bahawa takbir raya yang dilaungkan sebelum ataupun selain daripada hari raya akan menyebabkan mayat di dalam kubur akan meraung serta menangis kerana tidak dapat bersama-sama meraikan hari raya.
Boleh ke takbir selain hari raya?
Gambar sekadar hiasan
Jadi, untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini, sama-sama kita hayati jawapan yang dikeluarkan oleh laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Menerusi portal rasmi berkenaan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa sambutan Hari Raya Aidilfitri itu disambut dengan gema takbir bagi menggambarkan syiar Islam serta sebagai tanda meraikan kemenangan selepas berjaya mengharungi serta menghadapi ujian dan dugaan di bulan Ramadan.
Takbir pada hari raya itu juga merupakan satu perkara yang disunatkan berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:
Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan mudah-mudahan kamu bersyukur.
Namun begitu, terdapat persoalan yang timbul dalam kalangan masyarakat mengenai laungan takbir raya yang dilaungkan selain daripada hari raya.
Secara asasnya takbir termasuk di dalam amalan berzikir dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Bahkan ia juga merupakan ucapan yang disukai oleh Allah SWT berdasarkan keumuman hadis yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub RA, sabda Nabi SAW yang bermaksud:
Empat ucapan yang sangat disukai oleh Allah SWT: Tasbih (Subhanallah), Tahmid (Alhamdulillah), Tahlil (Lailahaillallah) dah Takbir (Allahu Akbar). Tidak menjadi sebarang masalah untuk kamu mulakan yang mana satu.
Riwayat Muslim (2137)
Namun, takbir raya secara lantang pada hari selain daripada hari raya dan hari tasyriq bukanlah menjadi perkara yang disunatkan. Hal ini kerana, takbir raya hanya disyariatkan pada hari raya dan hari tasyriq sahaja akan tetapi tidak menjadi masalah apabila ia dilakukan secara bersendirian. Berkenaan dengan hal ini, Imam al-Nawawi menukilkan pandangan Imam al-Haramain yang bermaksud:
Setiap yang telah kami sebutkan adalah untuk takbir yang dilaungkan dengan suara yang lantang dan dijadikan syiar. Namun, sekiranya menghabiskan umurnya dengan bertakbir bersendirian maka tidak ada tegahan daripadanya.
Mayat menangis takbir raya selain hari raya?
Merujuk kepada soalan mengenai adakah mayat di dalam kubur akan menangis tatkal mendengar takbir raya yang dilaungkan pada hari selain daripada hari raya, Pejabat Mufti menjelaskan bahawa tiada sebarang sandaran dalil dan nas yang dijumpai menyebutkan mengenai perkara ini.
Namun tidak dinafikan bahawa mayat boleh mendengar keadaan di atas dunia ini. Sebagai contoh, mayat boleh mendengar bunyi tapak kasut sahabatnya yang telah mengkebumikannya apabila sahabat-sahabatnya pulang meninggalkannya. Hal ini sebagaimana yang diceritakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA, Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
Jika suatu jenazah sudah diletakkan didalam kuburnya dan teman-temannya sudah berpaling pergi meninggalkannya, jenazah tersebut akan mendengar gerak langkah kasut mereka.
Kesimpulannya, perbuatan atau amalam melaungkan takbir raya secara lantang pada hari selain daripada hari raya dan hari tasyrik adalah perkara yang tidak disunatkan serta dikhuatiri perkara tersebut boleh mendatangkan kejanggalan dalam kalangan masyarakat.
Namun, sekiranya ia dilakukan secara bersendirian maka dibenarkan. Namun, tiada sebaran dalil dan nas yang dijumpai yang menyebutkan mengenai perbuatan melaungkan takbir raya pada selain hari raya akan menyebabkan mayat di dalam kubur menangis.
Wallahu’alam
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
source https://ohbulan.com/betul-ke-mayat-nangis-bila-dengar-takbir-raya-selain-daripada-waktu-raya-ini-penjelasannya