
Hanya kerana tidak bersungguh-sungguh ketika menyiapkan kerja sekolah, seorang bapa di Karachi, Pakistan bertindak membakar anaknya hidup-hidup.
Bakar anak hidup-hidup

Menerusi laporan Mail Online, mangsa dikenali sebagai Shaheer Khan mengalami kesan melecur yang teruk sebelum dikejar ke hospital, namun disahkan meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan.
Difahamkan, bapanya, Nazir dikatakan menyimbah minyak tanah ke atas anaknya lalu menyalakan mancis kerana ingin menakutkan kanak-kanak berusia 12 tahun itu supaya menyiapkan kerja rumahnya.
Walau bagaimanapun, niatnya untuk jadikan pengajaran itu bertukar tragedi apabila nyalaan api berkenaan menyambar minyak pada badan Shaheer.
Mendengar jeritan anaknya, si ibu, Shazia kemudiannya meluru masuk ke dalam bilik lalu dia bersama suaminya melemparkan selimut dan pakaian ke arah mangsa untuk memadamkan api. Namun begitu, usaha mereka tidak mencukupi untuk menyelamatkannya.
Ibu mangsa buat laporan polis

Susulan daripada itu, Shazia membuat keputusan untuk melaporkan perbuatan suaminya kepada pihak polis dua hari selepas anaknya meninggal dunia dan suaminya ditahan keesokan harinya serta kekal dalam tahanan sehingga perbicaraan mahkamah pada 24 September ini.
Menurut pegawai polis tempatan, Salim Khan, si bapa mengamuk kerana Shaheer berkeras ingin keluar bermain layang-layang. Dia kemudiannya mengarahkan kanak-kanak itu untuk menjawab beberapa siri soalan mengenai kerja sekolah, namun anaknya memberi jawapan yang tidak memuaskan.
Suspek beritahu polis yang dia siram minyak tanah ke atas kanak-kanak itu dan menyalakan mancis dengan niat untuk menakut-nakutkan mangsa.
Sumber : Mail Online
source https://ohbulan.com/tak-siapkan-homework-bapa-bakar-anak-hidup-hidup
