Seorang penghantar makanan dihadapkan ke mahkamah semalam (Rabu) selepas berdepan dengan satu pertuduhan membakar 13 buah motosikal dan empat skuter elektrik di hadapan Suria KLCC pada minggu lalu.
Artikel Berkaitan: Lelaki Nekad Bakar Motosikal Sebab Cemburu Bekas Isteri Ada Kekasih Baru
Rayu ikat jamin dikurangkan
Gambar sekadar hiasan
Memetik laporan Sinar Harian, suspek yang bernama Azril Kamarunzaman, 34, walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.
Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh berdepan dengan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda mengikut pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Amalina Abu Hanifah kemudiannya mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM12,000 semasa prosiding dilakukan.
Namun, peguam bela kepada suspek, Muhamad Ridzuan Umar membuat rayuan agar ikat jamin itu dikurangkan atas faktor suspek perlu menanggung isteri serta ibu bapanya.
Nu’aman kemudiannya membenarkan ikat jamin ke atas tertuduh dikurangkan menjadi RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Azril ditahan selepas tindakannya membakar 13 buah motosikal dan empat skuter elektrik di kawasan parkir pusat beli-belah Suria KLCC berjaya dirakam rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Azril kemudiannya didakwa melakukan perbuatan khianat itu dengan cara membakar kenderaan tersebut dengan menggunakan api.
Sumber: Sinar Harian
source https://ohbulan.com/perlu-tanggung-isteri-ibu-bapa-peguam-rayu-ikat-jamin-lelaki-bakar-motosikal-dikurangkan