Sudah menjadi lumrah apabila sesuatu jawatan dipertandingkan, pasti ada saja kisah politik yang boleh mendatangkan ketegangan. Pastinya, ketengangan itu bukan sahaja dirasai masyarakat malah, ketegangan itu turut dirasai calon yang bertanding demi merebut jawatan.
Artikel Berkaitan: Dunia Hiburan Penuh Glamor? Seindah Kasih Angkat Kisah Kehidupan Sebenar Pengamal Media
Papar sikap manusia yang berebut jawatan
Itulah yang akan anda saksikan dalam drama Tonton original terbaharu berjudul Presiden Kampung Morten dibintangi oleh Didie Alias dan Ozlynn Waty.
Filem Presiden Kampung Morten ini mengisahkan tentang ragam Manisah (Ozlynn) dan Kiambang (Didie) yang ingin merebut jawatan presiden Persatuan Wanita Kampung Morten, sebuah persatuan yang aktif memperjuangkan nasib penduduk wanita di kampung mereka yang bernama Kampung Lemak Manis.
Kewujudan persatuan tersebut telah berjaya mengurangkan kes penganiayaan wanita pelbagai peringkat umur sehinggakan jejaka yang berada di kampung tersebut berasa takut dan tidak berani untuk menyakiti mereka kerana bimbang akan diserang oleh ahli-ahli persatuan berkenaan.
Konflik bermula apabila Manisah tidak berpuas hati dengan nasib menimpa ibunya, Che Embun yang telah dilucutkan jawatan sebagai presiden persatuan tersebut selepas dituduh terlibat dalam skandal dengan Tok Mudim Sado. Berita yang tidak benar itu sebenarnya telah pun disebarkan Naib Presiden ketika itu, Kiah Tumis yang membawa kepada pelantikannya sebagai presiden Persatuan Wanita Kampung Morten yang baharu. Pelantikan Kiah sebagai presiden yang baharu juga telah menyebabkan Kiambang yang merupakan orang kanan kepada Kiah dilantik sebagai Naib Presiden yang baharu.
Perkara ini menyebabkan Manisah tidak berpuas hati dan ingin menuntut bela kejadian yang menimpa Che Embun dengan merampas kembali hak ibunya. Namun, perkara tersebut tidaklah mudah kerana Kiah yang telah menyandang jawatan tersebut selama dua tahun berturut-turut begitu bagus dalam menjalankan tugasnya.
Jadi, apakah strategi yang akan digunakan Manisah dan adakah dia berjaya untuk merampas takhta ibunya yang telah dirampas sebelum ini?
Nak tahu jawapannya, saksikan drama Tonton Original Presiden Kampung Morten yang turut dibintangi barisan pelakon hebat lain seperti Norman Hakim, Bell Ngasri dan ramai lagi bermula 17 April ini di Tonton.
source https://ohbulan.com/didie-alias-ozlyn-berebut-jawatan-presiden-strim-drama-presiden-kampung-morten-di-tonton-17-april-ini