Rumah tangga pasangan selebriti, Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana bakal berakhir pada 18 April ini selepas Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan tarikh tersebut untuk Syamsul melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Syamsul Yusof Setuju Nak Ceraikan Puteri Sarah
Buang ego
Bapa kepada Syamsul iaitu Datuk Yusof Haslam menghormati dengan keputusan Puteri Sarah dan anak lelakinya yang ingin berpisah selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga.
Memetik laporan Astro Gempak, Yusof menasihati Syamsul supaya membuang ego dan jangan menyimpan dendam terhadap Puteri Sarah.
Saya doakan yang terbaik dan berharap jika perpisahan itu berlaku kelak, ia berlaku dengan baik atas alasan yang logik.
Ini bukan perpisahan yang biasa tetapi perpisahan yang meninggalkan zuriat. Jadi saya harap baik sang isteri atau sang suami, masing-masing tahu tanggungjawab.
Masing-masing kena buang ego, jangan pentingkan diri, fikir masa depan anak-anak.
Yusof berkata demikian ketika majlis pelancaran Polis Evo 3, yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Jaga hubungan demi anak-anak
Dalam pada itu, pengarah dan penerbit filem turut mengingatkan pemilik nama Mohd Syamsul untuk tidak ‘makan hati’ sekiranya Puteri Sarah ditakdirkan bertemu dengan pengganti.
Kelak jika bekas isteri ada bertemu pasangan lain, Syamsul jangan bengkak hati, jangan berdendam.
Saya sangat berharap agar silaturahim antara mereka terjaga demi anak-anak.
Terdahulu, media melaporkan sesi perdamaian antara Syamsul dan isteri pertama, Puteri Sarah melalui JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), di sini, pada 24 Mac lalu, menemui jalan buntu.
Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.
Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.
Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.
Sumber: Gempak
source https://ohbulan.com/syamsul-jangan-bengkak-hati-jika-puteri-sarah-bertemu-pengganti-yusof-haslam